Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s : Cikgu Julia Juis Insan Kerdil Berjiwa Raksasa

Assalamualaikum

Selamat Hari Guru buat semua guru, marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka! Kali ini qaseh berpeluang menemuramah secara atas talian seorang insan luar biasa, dilahirkan di Kanowit Sarawak, berumur 60 tahun dan sudah berkhidmat selama 38 tahun 3 bulan 10 hari sebagai seorang guru iaitu cikgu Julia Binti Juis. Beliau merupakan salah seorang guru yang tercalon untuk Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2021.

Cikgu Julia telah mendapat pendidikan sekolah rendah di Tadika St. Francis Xavier, Kanowit (1967), SRK Abang Ali, Sibu (1968-1973), SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching (1957-1978) dan SMK Green Road, Kuching (1979-1980)

Di peringkat lebih tinggi, Cikgu Julia meneruskan pengajiannya di Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching (1981-1982) dalam Diploma Perguruan, kemudian ke Institut Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak (1996) dalam Sijil Kaunseling, diteruskan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1995-1996 dalam Diploma Linguistik Terapan (cemerlang) dan seterusnya di Universiti Putra Malaysia (1997-2000) dalam Bachelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu (Kelas Pertama)


Cikgu Julia bermula kerjayanya sebagai seorang guru di SMB. St. Augustine, Betong Sarawak (1983-1989), kemudian beliau bertugas di SMB. St Teresa, Kuching (1990-2000), kemudian ditugaskan di SMK Siburan (2000-2001), SMK Seri Selayang Gombak (2001-2010), SRK Taman Seri Gombak 2 (2011-2014) dan akhir sekali bertugas di SMK Sungai Pusu, Gombak (2014-2021). Fuhh orang cakap jauh perjalanan luas pemandangan dan semestinya banyak pengalaman.

Cikgu Julia telah mendapat 6 anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2002, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014, Guru Cemerlang BM DG44 dan Guru Cemerlang BM DG48. Guru Cemerlang BM DG52 dan Guru Akademik DG54 Tahniah buat cikgu Julia atas anugerah yang diperolehi.



Antara Jawatan yang pernah disandang oleh Cikgu Julia.

- Ketua Panitia Bahasa Melayu
- Ketua Guru Pengawas
- Ketua Guru Majalah Sekolah
- Guru Kanan Mata Pelajaran Bahasa (2009-2010)
- Guru Cemerlang BM (2008-2018)
- AJK Guru Cemerlang Daerah Gombak
- Guru Sumber BM Sekolah Rendah Daerah Gombak
- Pentaksir Kawasan ULBS BM SPM Daerah Gombak(2005-2009)
- Ketua Pentaksir ULKCP BM SPM Daerah Gombak(2010-2011)
- Ketua Pentaksir Sekolah PT3 subjek BM(2015)
- Pentaksir Kawasan PT3 subjek BM Daerah Gombak(2016-2018)

 

Memori Indah Sepanjang Perkhidmatan - 3 Generasi Bertemu

Cikgu Julia bercerita pada satu pagi yang cukup menceriakan, tiba-tiba muncul seorang tetamu tampan di depan matanya di Kamar Guru, tanpa berkedip beliau tatapi wajah kacak itu kerana seakan tidak percaya, minda beliau berbicara ligat menjawab segala soalan yang silih berganti. Guru muda itu mula memperkenalkan diri sebagai Mohd. Musa yang mana merupakan anak murid beliau di SMB St. Augustine, Betong pada tahun 1985 semasa di Tingkatan 3A. Cikgu Julia lah guru BM anak muda itu yang walaupun berbadan kerdil tapi berjiwa raksasa. 11 tahun kemudian mereka dipertemukan kembali oleh Allah sebagai rakan sejawat.


Keindahan dalam kejutan, sewaktu Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah SMB St. Teresa, Kuching. Pada suatu malam di sebuah hotel terkemuka, Pengetua Miss Anna telah mempersilakan beliau untuk menerima Hadiah Teristimewa daripada bekas anak murid merangkap rakan sejawatnya, jauh disudut hati, beliau berasa amat bangga sekali atas ingatan khusus bekas murid beliau untuk dirinya. Hadiahnya merupakan peti muzik yang sangat dihargai oleh cikgu Julia kerana nilai ingatannya kepada beliau masih elok dalam simpanan selama 27 tahun usianya. Ternyata sangat istimewa memori ini.

Yang menambah keindahan memori ini adalah di SMB. St. Teresa juga beliau telah menjadi rakan sejawat Puan Dora yang mana merupakan bekas guru ERT dan Guru Tingkatan 3C semasa beliau menuntut di SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching. Di sekolah itu juga, bekas murid beliau berasa begitu bangga kerana dia juga berjaya menjadi cikgu BM seperti beliau. Begitulah 3 generasi bertemu atas jawatan sebagai seorang GURU.

Hebatnya perancangan Allah, menghimpunkan mereka bertiga di sebuah sekolah yang sama. Cikgu Julia bersyukur atas anugerah yang cukup manis ini dan bersyukur kerana memulakan kerjaya sebagai seorang guru dan bersara pun masih seorang guru. Insan kerdil Berjiwa Raksasa

Diuji dengan Kanser Tidak Menghalang Tugas Cikgu Julia

Dicalonkan oleh anak murid beliau, Insan kerdil berjiwa raksasa. Itulah gambaran ringkas tentang diri dan peribadi Cikgu Julia yang dapat saya berikan walaupun telah 17 tahun saya melepasi zaman persekolahan dan mendapat didikan langsung daripada guru pakar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ini. Meskipun masa terus berlalu, tidak sedikitpun memadamkan ingatan dan rasa syukur saya terhadap sentuhan "magis" Cikgu Julia.


Beliau menghulurkan tangan di saat saya hampir tewas dan lemas untuk berhadapan dengan peperiksaan SPM ketika itu (2004). Cikgu Julia menyakinkan saya betapa saya sebenarnya mampu melakukan persediaan dan menghadapi peperiksaan penting yang berbaki beberapa bulan sahaja ketika itu. Keyakinan beliau terhadap saya mengatasi keyakinan saya kepada diri sendiri. Cikgu Julia tidak bermain bahasa untuk membina keyakinan palsu dalam diri saya, ujarannya bukan sekadar retorik bahasa, namun diiringi dengan segala usaha, kegigihan serta doa yang masih jelas nyata dalam lipatan memori saya. Kesannya, saya kembali fokus, berani dan berjaya menempuhi peperiksaan itu sehingga tamat pada 4 Disember 2004.




Walaupun didiagnos dengan kanser pada tahun 2011, beliau tetap meneruskan kerjanya sebagai guru dengan sepenuh hati. Sungguh, saya menyaksikan segala itu dengan penuh keinsafan. Masa terus berlalu namun Cikgu tetap Cikgu yang dulu. Tahun ini turunlah tirai persaraan Cikgu Julia pada 21 April 2021, setelah hampir empat dekad menabur bakti, menyerahkan jiwa dan raganya untuk masa depan anak-anak murid termasuklah saya. Sungguh saya tidak mampu membalas budi dan jasa Cikgu terhadap saya, cuma harapan saya semoga segulung ijazah Ph.D yang bakal saya genggam pada tahun ini dapat memberikan kegembiraan dan kebahagiaan buat Cikgu Julia yang amat saya sayangi seikhlas hati.

Impian dan Harapan

Impian cikgu Julia sepanjang bergelar guru hanya satu untuk mencanai dan mengacuankan anak-anak didik beliau menjadi individu berjati diri dan kental, rajin berusaha, tidak kenal erti berputus asa dan sentiasa mahu menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik disamping memiliki akhlak yang terpuji dan bersahsiah mulia


Beliau sentiasa berdoa agar semua anak didiknya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat PHD dan bekerjaya hebat. Beliau sangat bangga bertemu dengan bekas anak didiknya meskipun hanya bekerja sebagai jurujual dana pekerja di kedai dobi kerana mereka juga telah berjaya berdikari.

Beliau sering menerima perkhabaran daripada bekas muridnya seorang pilot AirAsia, peguam, doktor perubatan, jururawat, jurutera dan banyak lagi. Pada tahun persaraan cikgu Julia, beliau mendapat satu lagi kejutan manja apabila beliau telah dicalonkan oleh bekas murid beliau untuk Anugerah Guru Inspirasi Mdonald 2021.

Yang paling indah sekali, berita amat menggembirakan yang beliau terima apabila bekas anak muridnya Nur Fatiha Fadila Abu Bakar telah berjaya mendapat kelulusan Senat UPM untuk layak menerima ijazah PhD tahun ini. Seolah-olah kejayaannya merupakan impian terpendam beliau telah terlaksana kerana selama ini yang tak kesampaian.

Harapan beliau untuk melihat anak-anak didiknya berjaya lebih daripada dirinya telah tercapai. Alhamdulillah Ya Rabb. Akhir kata beliau berharap Generasi Baharu alaf ini menjadi generasi
yang mampu memacu negara menjadi salah sebuah negara maju yang rakyatnya berminda Kelas Pertama. Generasi Baharu yang sentiasa menggali ilmu daripada Guru.






7 Ulasan

TQ FOR COMMENT

  1. Bagus cikgu. Cikgu yang bekerja dengan baik, jujur disayangi anak murid

    BalasPadam
  2. terima kasih cikgu,semoga di berkati Allah segala jasa dan bakti.

    BalasPadam
  3. Hebat guru-guru yang tercalon anugerah inspirasi McD i.

    BalasPadam
  4. Pendidik bangsa yang tiada tolok banding. Bukan mudah nak mendidik anak bangsa. Moga Cikgu Julia akan terus cemerlang dan dianugerahkan 'Anugerah Guru Inspirasi McD'...Aamiin

    BalasPadam
  5. Hebat cikgu julia ni ya, dpt 6 anugerah tau! Syabas! Sekolah akhir tu di Gombak mmg kwsn lalu lalang kak ju jemput anak dari sekolah. Jasa betul cikgu ni.

    BalasPadam
  6. Wow getting so many awards 6 years in a row? That goes to show how amazing she is as an educator.

    BalasPadam
  7. fuh cancer fighter! SELAMAT HARI GURU

    BalasPadam
Terbaru Lebih lama